Friday, August 27, 2010

Apabila nama dan pangkat yang dicari...

Salam and hi to all...

Baru-baru ini, pilihanraya kampus telah selamat dijalankan dengan lancarnya. Seramai 9 orang calon layak bertanding untuk 5 buah kerusi yang disediakan. Pengakhirannya, 5 orang calon Melayu telah memenangi pilihanraya tersebut. Hanya 2 calon bukan Melayu yang bertanding namun kedua-duanya kalah walaupun majoriti Melayu dan India disini sudah hampir sama banyak jumlahnya.

Pelbagai cerita yang didengari sepanjang tempoh berkempen yang sangat singkat dijalankan. Isu 'kawan makan kawan',isu racism, dan juga isu antara Melayu dengan Melayu.

Kesemua itu sebenarnya adalah lumrah dalam berpolitik. Politik bersih dan juga politik kotor sememangnya ada walaupun hanya jawatan kecil yang dipertandingkan. Dan manusia memang tidak akan dapat lari daripada kancah politik, selagi mereka masih tidak mengamalkan budaya hidup 'katak di bawah tempurung'.

Sebelum itu, penulis mengucapkan ribuan tahniah kepada calon yang berjaya dan masih sudi untuk bertanya dan meminta tunjuk ajar dalam menghadapi suasana politik disini. Dan juga tahniah kepada anda sekiranya niat anda untuk tampil ke hadapan adalah keikhlasan dan kesanggupan untuk memikul tanggungjawab bukannya untuk hanya menempah nama dan publisiti.

Keputusan pilihanraya yang penulis jangkakan menepati serba sedikit keputusan yang sebenar. Sememangnya dari awal lagi tidak susah untuk saya menjangkakan keputusannya berdasarkan pengalaman yang sedikit ini.

Dan selepas keputusan pilihanraya diumumkan,sudah semestinya segelintir pihak yang kalah tidak dapat menerima keputusan itu. Mereka boleh berpura-pura di dalam pusat mengundi,tetapi muka sebenar boleh dilihat sebaik sahaja keluar daripada pusat mengundi tersebut. Betapa ralatnya dan kecewa dengam spesies sebegini,yang merasakan jawatan tersebut sangat penting walhal tanggungjawab yang lebih berat menanti selepas ini.

Lalu timbullah cerita-cerita yang tidak sedap didengar seperti yang telah disebutkan diatas. Dan penulis serba sedikit mahu menangkis dan memberi pendapat dalam perkara-perkara begini. Pertamanya ditimbulkan isu 'racist' iaitu Melayu dengan Melayu, India dengan India dan lain-lain. Lumrah dunia kalau sudah kalah sememangnya tidak mahu menerima dengan hati yang terbuka sebaliknya menuding jari dan menyalahkan orang lain. Bagi penulis, kedua-dua calon India itu kalah bukan kerana timbulnya 'racism. Memang tidak dinafikan ada sedikit,tetapi tidak semua. Salahkan la kaum kamu sendiri, penulis pun tahu dan nampak situasi sebenar dimana kamu juga terdapat puak-puak dan berpecah belah sesama sendiri. Tidak perlulah menuding jari,semuanya sudah nampak di depan mata.

Manakala bagi Melayu pula, ada pihak yang marah apabila calon yang ingin bertanding disekat bagi mengelakkan banyak calon yang bertanding. Belajarlah dari masa lalu dimana kamu sesama Melayu bertanding merebut 'kerusi' bagai nak rak,dan akhirnya kamu semua tersungkur begitu sahaja. Gunakanlah undi majoriti yang ada untuk menaikkan calon yang berkelayakan dan berupaya. Bukannya bertanding untuk 'test power' tetapi tidak pandai bekerja.

Di sini penulis tidak bersifat perkauman,sebaliknya hanya memberikan pandangan berdasarkan situasi sebenar yang berlaku. Semoga calon yang berjaya mampu menjalankan tanggungjawab mereka dan melaksanakan manifesto yang dicanang berjela-jela. Semoga usaha dan niat yang ikhlas dapat memudahkan tanggungjawab anda dalam masa-masa akan datang.